Penggunaan Resos dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
Penggunaan resos dalam PdP Matematik merupakan perkara yang terpenting dan semakin mendapat perhatian guru-guru dan menjadi amalan guru di sekolah rendah. Menurut teori Piaget yang berfokuskan aspek konstruktivisme memberikan hujah bahawa pemikiran kanak-kanak mula memanipulasi objek untuk merasa dan membangunkan idea-idea Matematik bermula daripada peringkat praoperasi lagi. Secara umumnya, resos Matematik memainkan peranan yang sangat berkesan dalam PdP Matematik bermula dari sekolah rendah lagi. Kajian banyak menunjukkan dan menyokong bahawa manipulasi alat bahan bantu sangat berguna untuk perkembangan mental murid yang berkaitan dengan konsep Matematik.
Resos Matematik dapat meningkatkan tahap pemikiran murid melalui proses memanipulasi objek fizikal, mod ikonik yang mewakili idea-idea menggunakan gambar atau imej, dan mod simbolik yang melibatkan idea-idea yang diwakili melalui bahasa atau simbol. Melalui perwakilan idea ini, Bruner telah merujuk kepada hasil pemprosesan maklumat dan pengalaman di masa lampau. Menurut Bruner, pembangunan sistem mental membolehkan murid untuk membuat ramalan dan mendapatkan maklumat yang relevan berdasarkan pengalaman yang lalu untuk diaplikasikan dalam situasi baru. Penggunaan sumber model, fizikal dan imej dalam PdP Matematik dapat menyokong pemahaman dan penggunaan simbol.
Menurut Haylock dan Cockburn (2003), beliau mengatakan bahawa pengalaman konkrit, gambar, bahasa dan simbol boleh menjadi penting dalam pemahaman konsep Matematik bagi seseorang murid.. Oleh hal yang demikian, penggunaan resos dalam PdP Matematik boleh melibatkan murid untuk melakukan aktiviti. Mereka terlibat dengan memanipulasi alat konkrit, simbol, bahasa dan gambar yang mana membolehkan murid memperkembangkan pemikiran mereka ke dalam konsep abstrak. Selain daripada itu juga aktiviti Matematik juga melatih murid dalam pemikiran dan strategi mental terutama sekali apabila membuat aktiviti “hands-on” . Menurut kajian yang dibuat oleh Askew dan William, ia menunjukkan bahawa kerja praktikal menyediakan bayangan yang dapat membantu murid dalam mentafsir idea-idea Matematik. Untuk menyediakan aktiviti yang berkesan kepada murid, guru perlu memainkan perana dalam menyediakan aktiviti dan komunikasi yang berkesan seperti mengaitkan pengetahuan lama ke dalam aktiviti praktikal dan menggalakkan murid untuk memperkembangakan imej mental mereka.
Pemilihan dan penggunaan resos Matematik yang berkesan memerlukan penelitian yang rapi dan perancangan yang baik dari pihak guru. Menurut Bottle, keberkesanan sesuatu resos boleh dikenalpasti melalui sejauh mana pemikiran mental murid dapat dibentuk sama ada berguna ataupun tidak berguna dalam menstrukturkan pemikiran mereka.
Resos Matematik didefinisikan sebagai apa-apa bentuk alat Matematik (struktur atau tidak berstruktur), gambar, ICT, permainan, alat, kertas atau sebarang alatan harian yang boleh digunakan untuk menyediakannya sebagai alat pembelajaran Matematik. Alat manipulatif Matematik spesifik ialah objek yang direka bentuk khas untuk mempersembahkan idea Matematik yang abstrak dan konkrit. Ia boleh digunakan oleh kedua-dua sama ada guru dan murid, boleh dipegang dan dirasai kewujudannya dan juga direka sebagai alat manipulasi “hands-on”.
Alat Matematik yang berstruktur direka khusus untuk menunjukkan konsep-konsep tertentu. Melalui manipulasi alat, murid dan guru dapat menggunakan alat tersebut dalam pelbagai kegunaan. Contohnya Blok Asas 10, Dienes’s Block, Rod Cuisenaire yang mana alat-alat ini dapat menunjukkan konsep asas dalam sistem nombor, sistem nilai tempat dan perpuluhan. Alat ini juga dapat membantu murid membuat penghuraian dan penolakan tentang sifat-sifat nombor dan hubungan antara nombor. Pasangan nombor, operasi songsang dan corak nombor boleh diterokai dan kebiasaan dengan / penggunaan radas boleh membantu pemahaman matematik (Delaney, 1992).
Kebanyakan alat Matematik berstruktur lebih versatil dan terbuka dalam penggunannya kerana ia tidak direka hanya untuk memberi tumpuan kepada konsep tertentu sahaja. Namun begitu, terdapat juga resos Matematik yang hanya digunakan dalam bentuk tertentu sahaja. Contohnya untuk pengiraan, penyiasatan nombor,bentuk dan corak, rekaan dan binaan ataupun untuk mencari perkaitan antara nombor dan bentuk. Pemilihan kepelbagaian jenis resos sangat penting untuk memastikan murid tidak salah pemahaman berdasarkan resos yang terhad. Kebolehan menggunakan alat Matematik dalam pelbagai cara boleh meransang proses penyiasatan dan kerja berkolaborasi di pihak murid. Sebagai contoh, perbincangan Matematik secara berkumpulan dapat menggalakkan perkembangan pemikiran logikal murid.
Alat visual seperti abakus mendorong murid dalam perhubungan pengiraan kepada pergerakan. Resos seperti ini membantu murid untuk mengembangkan deria susunan nombor dan corak nombor. Dalam penggunaan abakus Slavonic, penggunaan warna dan kumpulan biji melibatkan konsep pemahaman melalui imej.
Imej abstrak memberi peluang kepada sestengah aspek dalam Matematik dipersembahkan sama ada dalam bentuk visual ataupun alat bantuan PdP “hands-on”. Termasuklah gambar imej bentuk/ objek atau imej yang berkaitan dengan simbol sistem nombor seperti garisan nombor, kad digit, petak 100 dan garis nilai nombor. Melalui penggunaan imej abstrak konkrit dan imej abstrak ini, murid dapat mengaitkan simbol nombor dan susunan kepada imej konkrit yang mereka fahami.
Perkembangan tahap kecanggihan garis nombor abstrak diperlukan untuk memperkembangkan pemahaman mereka dalam sistem nombor. Imej yang menggambarkan bagaimana perkaitan nombor dalam struktur logikal dijadikan model dalam PdP. Oleh hal yang demikian, garisan nombor memberi kefahaman yang jelas kepada murid berkaitan dengan integer positif dan integer negatif. Penggunaan satu garis nombor ini boleh menjadikan satu pengajaran yang berguna di mana murid dapat melihat dengan jelas bagaimana pengiraan nombor berlaku dan juga bagaiman cara untuk mengira kembali mengikut susunan dari belakang. Murid juga sering mengalami kesukaran dalam pemahaman berkaitan topik pecahan dan perpuluhan. Kesukaran untuk memahami tajuk pecahan dan perpuluhan ini adalah disebabkan nilainya tersendiri. Namun begitu, dengan menggunakan aktiviti mendemostrasikan nombor di atas garisan nombor ini boleh meningkatkan kefahaman tentang nilai tempat, hubungan antara pelbagai jenis nombor dan keseluruhan tentang sistem nombor. Bagi menguji tahap kefahaman murid berkaitan dengan penggunaan garisan nombor ini, guru boleh menyediakan satu garis nombor yang kosong untuk diisikan oleh murid yang mana murid akan menggunakan pengiraan mental dalam Matematik.
Oleh itu, abstrak imej yang boleh dipersembahkan dalam bentuk garis nombor contohnya dapat menyediakan alat untuk berfikir kepada murid untuk mereka berfikir di samping memperkembangkan pemahaman mereka berkaitan dengan sistem nombor serta membuat pengiraan dengan nombor. Tambahan pula, model, gambar rajah dan imej boleh membantu pemahaman tentang bagaimana strategi dan kaedah yang digunakan dalam penyelesaian Matematik. Kajian yang dijalankan oleh Clausen-May menunjukkan bahawa pemikir visual dan sentuhan adalah lebih cenderung untuk mendapat manfaat daripada pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan model dan imej yang berkesan.
Seterusnya adalah berkaitan dengan resos Matematik yang berteknologi tinggi iaitu ICT. ICT adalah satu teknologi jalur lebar informasi dan komunikasi yang boleh didapati di sekolah sebagai satu resos dan alat untuk menyokong PdP Matematik. Ini termasuklah robot program, kalkulator, televisyen, radio, video, kamera digital, komputer, perisian, pengaksesan internet dan papan putih interaktif. Penggunaan resos ICT boleh menyediakan cara yang paling efektif dan berkesan untuk mencapai objektif pembelajaran. ICT sangat berguna dalam PdP Matematik yang mana ia memberikan perhubungan antara tugasan Matematik yang menggunakan perisian ICT dengan aktiviti yang tidak memerlukan perisian tersebut. Contohnya pernggunaan kalkulator yang mana merupakan alat kognitif yang efektif apabila mereka ingin menguji pemikiran mereka dalam mendapatkan jawapan kepada pengiraan yang dibuat.
Walaupun terdapat sedikit keraguan bahawa ICT menyediakan imej visual yang kuat dan murid lebih bermotivasi dengan perisian ICT tersebut, atas kegunaannya yang tersendiri keadaan ini tidak diperlukan untuk meningkatkan kefahaman konsep Matematik. Seperti kegunaan semua resos Matematik, ia adalah pilihan tugasan, penggunaan resos/perisian yang berkesan, kualiti penglibatan guru dan peluang yang diberikan untuk perbincangan adalah asas kepada suatu PdP yang berjaya. Namun begitu, resos ICT ini banyak membantu guru-guru terutama apabila melibatkan pengajaran yang menggunakan perisian tertentu. Contohnya perisian Geometer Sketchpad (GSP) yang banyak digunakan dalam pengajaran topik graf, bentuk dan pepejal. Selain itu juga, laman-laman web ataupun blog yang mempunyai nota-nota ringkas turut dipaparkan kepada murid sebagai salah satu resos PdP.
Resos yang seterusnya adalah permainan Matematik yang mana boleh dimainkan di dalam kelas, kumpulan-kumpulan kecil ataupun secara berpasangan. Sumber ini sangat menarik perhatian murid serta memotivasikan mereka dan sekaligus dapat menggalakkan tumpuan yang maksimum dalam penglibatan murid dengan aktiviti Matematik. Permainan boleh digunakan dengan cara yang berbeza untuk mengukuhkan amalan kemahiran pembelajaran, meneroka hubungan matematik dan membangunkan strategi penyelesaian masalah. Banyak papan permainan dan jenis permainan yang dihasilkan adalah untuk memberi latihan beberapa aspek Matematik. Kelebihan utama yang terdapat pada permainan adalah boleh merangsang pengiraan aritmetik mental secara berulang. Oleh disebabkan penggunaan resos dalam bentuk permainan juga menggalakkan aplikasi kemahiran dalam konteks yang berbeza, guru harus mempertimbangkan kandungan Matematik dan tahap murid-murid supaya ia bersesuaian dan mencapai objektf pembelajaran.
Salah satu keseronokan permainan bagi murid-murid ialah mereka boleh berada dalam situasi yang dikawal oleh pembelajaran mereka sendiri. Murid-murid sentiasa berusaha menyelesaikan masalah dan mencari jalan penyelesaian. Permainan Matematik yang berkesan seperti pengiraan mental dalam pemikiran murid-murid. Selain itu juga murid-murid digalakkan untuk berbincang konsep Matematik yang wujud dalam permainan tersebut dan strategi yang digunakan supaya dapat membantu perkembangan bahasa Matematik dan kemahiran memberi sebab.
Selain itu juga, permainan Matematik yang direka adalah berbentuk permainan perlawanan yang selalunya ditukar menjadi permainan koperatif yang mana murid-murid menyokong antara satu sama lain untuk mencapai kejayaan. Permainan Matematik boleh memberi peluang untuk memperkembangkan kemahiran berkaitan pemikiran Matematik iaitu meramal, menjustifikasikan, dan menerangkan. Permainan Matematik juga boleh dijadikan sebagai kerja rumah ataupun aktiviti sendirian di dalam kelas. Penggunaan yang paling berkesan permainan adalah apabila mereka dimasukkan ke dalam kurikulum matematik dirancang. Gurl perlu jelas tentang hasil pembelajaran daripada permainan tersebut, bagaimana semua kanak-kanak boleh mendapat manfaat daripada permainan yang sesuai.
Seterusnya, resos yang digunakan dalam PdP Matematik adalah lemabaran kerja dan buku teks. Kedua-dua resos ini merupakan kunci dalam bilik darjah. Buku teks dan buku latihan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi pemikiran guru ke dalam PdP Matematik sekolah rendah. Sesuatu pendekatan pengajaran yang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan buku teks dan buku latihan bagi subjek Matematik boleh menyukarkan murid-murid. Penggunaan yang sepenuhnya pada lembaran kerja dapat meyakinkan murid bahawa Matematik tidak berkaitan dengan kehidupan sebenar sebaliknya menggalakkan sikap bahawa Matematik ialah yang ada dalam buku teks dan lembaran kerja. Hasil kerja di dalam buku teks dan lembaran kerja biasanya tidak dapat menunjukkan ketepatan apa yang murid fahami dengan betul.
Di samping itu juga, masalah juga timbul apabila buku teks dan lembaran kerja digunakan sebagai aktiviti atau tugasan. Pengajaran yang berkesan akan berlaku apabila guru terlalu bergantung kepada lembaran kerja kerana murid-murid terpaksa bertungkus lumus dalam menyiapkan lembaran kerja sedangkan mereka tidak berminat terhadap pengajaran yang sedemikian. Selain itu juga, penggunaan yang keterlaluan menunjukkan guru sangat terikat pada pengajaran buku teks dan tidak menunjukkan kaedah yang tersendiri.
Satu pendekatan yang lebih berkesan untuk menggunakan buku teks dan lembaran kerja kanak-kanak adalah menjadikan resos tersebut untuk menyokong, menyatukan atau melanjutkan pembelajaran matematik kanak-kanak melalui menghubungkan aspek yang dipilih dan dirancang oleh guru. Pendekatan sedemikian membolehkan untuk guru-guru untuk membuat keputusan mengenai kesesuaian bahan, kumpulan kanak-kanak yang mungkin mendapat manfaat daripada tugasan, dan merancang kerja secara berpasangan / kumpulan yang memberi tumpuan kepada penjelasan pemahaman. Aktiviti di dalam buku teks boleh digunakan sebagai batu loncatan kepada tugasan menyelesaikan masalah yang mana murid mendapat manfaat melalui hubungan antara buku teks dengan aktiviti Matematik dalam kehidupan sebenar.
Alatan yang digunakan dalam kehidupan seharian juga boleh dijadikan resos dalam PdP Matematik sebagai salah satu resos yang boleh menyokong dan memperkembangkan pemahaman murid-murid tentang kegunaan Matematik dalam konteks kehidupan yang sebenar. Antaranya ialah kertas, jadual waktu, resit, katalog, kalendar, gambar yang mempunyai bentuk-bentuk, alat penyukat dan alat pengukur dan lain-lain lagi. Resos yang sedemikian boleh digunakan dalam PdP sama ada dalam aktiviti berkumpulan, sebagai alat pameran serta untuk mendemonstrasi. Sebagai tambahan, banyak resos yang direka untuk PdP Matematik boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Contohnya, pasir, air, “play dough” boleh digunakan dalam memperkenalkan konsep awal berkaitan nombor, bentuk dan ukuran. Dengan memanipulasi objek dan barang yang berkaitan, ia membantu murid untuk merasai pengalaman yang sebenar. Penggunaan resos yang terdapat dalam kehidupan setiap hari akan menyokong pembelajaran murid melalui jenis pendekatan pengajaran yang berbeza dan juga pengalaman di dalam bilik darjah akan lebih bermakna bagi seseorang murid.
Secara umumnya, resos Matematik berfungsi untuk memotivasikan murid, menyediakan kepelbagaian pengalaman PdP, mengaitkan bilik darjah Matematik dengan kehidupan yang sebenar serta bertindak sebagai alat visual yang membantu murid untuk membina penyimpanan imej mental yang baik. Selain itu juga resos boleh mambantu guru dan juga murid untuk membina model proses Matemtaik yang melibatkan operasi atau pengiraan bagi nombor yang spesifik. Ia juga menggalakkan komunikasi Matematik di dalam bilik darjah serta menyokong tugasan guru untuk melatih pengetahuan dan pemahaman murid dalam aspek Matematik. Resos Matematik ini juga dapat menyokong pemahaman idea Matematik dengan cara membenarkan murid untuk membuat perkaitan antara apa yang mereka faham dengan pembelajaran Matematik.
Dalam penyediaan resos yang baik dan berguna, seorang guru haruslah jelas tentang mengapa sesuatu resos itu disediakan dan mengenalpasti perkaitan yang wujud antara tugasan praktikal, imej visual yang direka dan abstrak Matematik yang terlibat. Guru juga harus mengutamakan penyoalan dan perbincangan antara murid berkaitan dengan resos untuk menyokong pemikiran Matematik secara individu. Keupayaan guru untuk berunding dengan tafsiran murid yang berbeza akan menjadi faktor yang penting dalam membantu murid mentafsir proses kefahaman mereka daripada mengendalikan objek ataupun menggunakan gambar rajah kepada persembahan simbolik. Elemen yang penting dalam penggunaan resos Matematik ini adalah penggunaan aktiviti mental. Tanpa penggunaan aktiviti mental dalam tujuan melakukan aktiviti fizikal, bahan konkrit yang digunakan sebenarnya tidak dapat memperkembangkan pemahaman Matematik bagi seseorang murid. Oleh hal yang demikian, untuk menggunakan aktiviti mental yang seiring dengan aktiviti fizikal, perlunya ada wacana antara murid dan guru yang akan membolehkan murid untuk merapatkan jurang antara bahan-bahan dan idea-idea abstrak.
Seterusnya adalah berkaitan aspek-aspek yang perlu dititikberatkan oleh seorang guru dalam membuat keputusan untuk menggunakan resos Matematik yang berkesan untuk menyokong PdP. Pendidikan Moyer menekankan bahawa penyediaan resos dalam pendidikan Matematik haruslah lebih menyeronokkan bagi murid-murid. Resos tersebut juga haruslah menjadi satu pendekatan mudah yang terbaik yang mana boleh memberi manfaat kepada guru dan juga murid dalam pembelajaran Matematik. Resos itu juga perlu menglibatkan murid secara individu dan menyediakan skop yang besar untuk pembangunan kemahiran yang berkaitan dengan pemikiran Matematik.
Kepelbagaian adalah penting dalam memilih sumber untuk menyokong pembelajaran murid-murid. Murid berpeluang membentuk generalisasi melalui sumber yang disediakan. Oleh itu, adalah penting bagi seorang guru untuk memberi peluang kepada murid menerokai resos yang disediakan serta membincangkan bersama-sama murid. Pendekatan yang menggalakan pemikiran dalam kalangan murid ini boleh menggalakkan budaya sentiasa berfikir dalam penyelesaian masalah yang pelbagai. Penggunaan resos serta mewujudkan komunikasi antara murid perlu untuk mendiagnosis apa-apa salah faham yang mengkin akan lebih jelas melalui penggunaan resos tersebut. Selain itu juga, ia dapat menilai keberkesanan sumber sebagai alat bantuan kepada pembelajaran dan sebagai mekanisme untuk menyokong pembangunan pemikiran matematik.
Resos memainkan peranan yang penting untuk membenarkan guru untuk memodelkan atau mendemonstrasikan idea Matematik dalam bentuk persembahan dan dalam menyokong perkembangan pemahaman dan pemikiran Matematik murid. Penggunaan resos yang berkesan dan efektif akan bergantung kepada pemahaman guru tentang bagaimana bahan tersebut dapat meningkatkan pemikiran mental murid dan bagaimana untuk menggunakan sepenuhnya resos tersebut dalam membantu pemahaman murid berkaitan konsep Matematik. Proses pengabstrakan idea matematik daripada bantuan imej atau praktikal adalah sukar bagi kebanyakan ramai murid. Oleh itu, semua guru perlu sedar bahawa tidak semua bahan –bahan konkrit dapat membantu meningkatkan kefahaman murid untuk mengabstrak idea-idea Matematik. Guru-guru perlu bijak dalam memilih jenis resos yang harus digunakan bertepatan dengan objektif pembelajaran dan tahap kepandaian murid.
Resos Matematik
Nama Resos : Turutan Kereta Api
Dengan berpandukan Rancangan Pengajaran Harian yang telah dihasilkan, kami bersependapat dalam menghasilkan satu resos Matematik yang mana digunakan untuk mengajar topik turutan menaik dan menurun bagi Tahun 2. Resos ini telah dinamakan “Turutan Keretaapi” memandangkan kami menggunakan model kereta api sebagai landasan kepada susunan nombor-nombor yang diberikan. Konsep awal yang menjadi tunjang kepada binaan model ini adalah garisan nombor.
Bahan-bahan yang telah digunakan dalam menghasilkan resos ini ialah:
1. Kertas warna dan kertas A4
2. Sekeping Mounting Board
3. Gam dan Gunting
Proses membina resos ini terbahagi kepada dua proses iaitu proses membina garisan nombor dan membuat kad-kad nombor. Dalam proses membina garisan nombor, kami menggunakan pendekatan yang mana menjadikan garisan nombor itu lebih menarik jika dibandingkan dengan garisan nombor yang biasa dilihat oleh murid. Oleh hal yang demikian, kami menambahkan daya tarikan pada garis nombor tersebut dengan menjadikan gerabak kereta api sebagai tempat dan ruang bagi nombor-nombor yang terdapat dalam garis nombor. Selain daripada daya penarik, ia juga bertujuan memudahkan kefahaman konsep turutan menaik dan menurun. Seperti kebiasaan, murid sudah sedia maklum mengenai pergerakan kereta api sama ada bergerak ke hadapan ataupun mengundur ke belakang. Oleh itu, samalah juga apabila ia diaplikasikan ke dalam konsep turutan nombor menaik dan menurun iaitu menaik bersamaan juga dengan pergerakan kereta api ke hadapan dan menurun sama juga dengan pergerakan kereta api mengundur ke belakang. Apabila murid mulai faham dan jelas mengenai perbezaan konsep menurun dan menaik ini, barulah guru dapat menggunakan garis nombor ini mengikut keselesaan masing-masing. Seterusnya, pembinaan kad-kad nombor adalah seperti biasa di mana kad nombor yang disediakan haruslah mempunyai set-set yang tersendiri. Set-set nombor tersebut haruslah mengikut susunan ataupun mengikut skala yang sama.
Kegunaan resos ini adalah untuk mengajar murid berkaitan topik turutan menaik dan menurun dalam susunan nombor untuk pelbagai angka digit. Resos ini boleh digunakan oleh kedua-dua pihak sama ada guru untuk melakukan demonstrasi ataupun murid iaitu mereka boleh menggunakannya tanpa kawalan guru. Contohnya, apabila murid sudah menguasai susunan nombor ini, mereka boleh bermain teka-teki di dalam kelas secar beramai-ramai. Selain itu juga, resos ini boleh digunakan untuk mengajar kemahiran menambah atau menolak secara berkala atau secara konsisten. Resos ini tidak memerlukan modal yang besar untuk menghasilkannya kerana ia hanya menggunakan beberapa kertas warna dan juga sekeping mounting board sahaja. Di samping itu juga, resos ini mudah dibawa ke mana-mana tanpa memerlukan beban yang berat memandangkan ia hanya diperbuat daripada kertas.
RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN
Refleksi
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnianya, Tugasan Projek Mengajar Nombor, Pecahan, Perpuluhan Dan Peratusan ini dapat disiapkan dengan jayanya dalam tempoh yang diberikan. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada pensyarah bimbingan saya, Datin Zaiton binti Othman yang banyak memberi tunjuk ajar serta panduan kepada saya. Terima kasih juga diucapkan kepada pasangan saya Anis Shamila binti Ab Salam yang setia memberikan kerjasama. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih ditujukan kepada rakan-rakan yang banyak berkongsi ilmu sepanjang membuat tugasan ini. Tidak dilupakan kepada ibu bapa yang tercinta yang sentiasa memberi sokongan.
Tugasan projek ini mendatangkan banyak manfaat dan impak positif kepada saya dalam melatih daya kreativiti seorang bakal guru pada masa hadapan. Tugasan individu yang merangkumi penulisan akademik tentang “Penggunaan Resos Matematik” banyak memberi saya ilmu dan pengetahuan baru. Bagi menyiapkan penulisan itu, saya banyak merujuk kepada sumber-sumber dan sekaligus ia membantu saya dari aspek memperoleh ilmu. Pengetahuan mengenai resos ini sangat penting kerana ia dapat diaplikasikan dalam pengajaran di sekolah. Seperti yang sedia maklum, resos merupakan salah satu bahan yang terpenting yang dapat menentukan sama ada sesuatu pengajaran itu menarik atau sebaliknya. Bertitik tolak di situ, saya cuba untuk memahami segala pencerahan yang terdapat di sebalik penggunaan resos supaya saya dapat menggunakan resos dengan yang lebih baik di masa hadapan.
Selain itu juga, tugasan individu juga memerlukan saya untuk membina capaian blog yang akan menjadi salah satu resos bagi subjek Matematik. Tugasan ini membuka mata saya bahawa resos blog ini juga merupakan satu media yang sangat mudah dicapai dan digunakan oleh sesiapa sahaja. Tambahan pula, di era teknologi ini, penggunakan internet sudah menjadi satu keperluan kepada masyarakat pada hari ini. Tanpa disedari dengan membina resos melalui blog ini, saya turut dapat melakukan perkongsian ilmu dengan orang lain. Walaubagaimanapun, sepanjang membina blog ini terdapat juga sedikit cabaran yang mana memberi satu lagi kemahiran baru kepada saya untuk menggunakan ICT. Cabaran tersebut dirasakan apabila rakan-rakan mula menggunakan laman “weebly” untuk membina blog dan jika dibandingkan sebelum ini saya banyak menggunakan laman “blog” untuk membina blog. Melalui bantuan dan pendedahan daripada rakan-rakan, saya mendapat kemahiran baru iaitu dengan menggunakan laman “weebly” untuk membina blog.
Seterusnya adalah berkaitan dengan tugasan berpasangan yang mana ia memerlukan kami untuk membina sebuah Rancangan Pengajaran Harian dan resos yang digunakan. Semestinya, RPH tidak dapat dipisahkan daripada seorang guru. Oleh hal yang demikian, pengetahuan dan kemahiran yang tepat sangat diperlukan dan diaplikasikan dalam pengajaran. Tugasan ini sekali lagi menjadi panduan dan penanda aras kepada saya dalam membina RPH pada masa hadapan. Namun begitu, terdapat beberapa kekangan dalam menghasilkan RPH disebabkan percanggahan ilmu yang diperolehi sebelum ini. Walaubagaimanapun, penerangan yang jelas daripada pensyarah pembimbing banyak memberi penjelasan dan membantu saya untuk menghasilkan RPH yang terbaik. Selepas selesai menghasilkan RPH, saya membina resos yang diperlukan. Dalam masa serentak, semua tugasan ini memerlukan daya kreativiti yang tinggi. Daya kreativiti dalam menghasilkan sebuah perancangan mengajar yang menarik, membina resos yang pelbagai.
Melalui tugasan ini juga, saya berpeluang untuk melakukan “microteaching” yang mana sangat penting dan memberi latihan asas kepada saya untuk mengendalikan kelas dan menyampaikan pengajaran dan pembelajaran. Setelah melakukan microteaching, ia memberi peluang kepada saya untuk membuat reflektif kendiri tentang kelemahan saya untuk mengajar dan apa yang perlu diperbaiki dalam mutu pengajaran saya.
Bagi cadangan untuk penambaikan, saya mencadangkan agar tugasan projek ini dibuat secara individu berbanding berpasangan. Melalui kerja individu, setiap guru pelatih akan melalui pengalaman yang sendiri untuk membina Rancangan Pengajaran Harian secara individu. Selain itu juga, saya mencadangkan agar pensyarah pembimbing yang menentukan topik yang akan diajar dalam pembinaan Rancanagan Pengajaran Harian. Ini memberi peluang kepada guru pelatih supaya kreatif dalam penyampaian pengajaran yang pelbagai.
Kesimpulannya, saya berasa sangat gembira dalam penghasilan tugasan projek ini kerana ia merupakan pendedahan awal kepada saya untuk mengajar murid di dalam kelas secara realiti kelak. Selain daripada proses perancangan mengajar tugasan ini juga memberi pemahaman yang jelas bagaimana caranya untuk menyampaikan satu pengajaran yang baik.